PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merekodkan lonjakan signifikan hampir enam kali ganda suku pertama tahun ini bagi jumlah pencarum berdaftar untuk Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).
Peningkatan jumlah pencarum SKSPS yang dicatatkan adalah berjumlah 471,000 orang berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pertumbuhan memberangsangkan turut dicatat bagi penempatan pekerjaan melalui portal perkhidmatan pekerjaan negara (MYFutureJobs) iaitu peningkatan sebanyak 152 peratus atau 39,136 individu berjaya mendapat penempatan pekerjaan berbanding 15,520 individu untuk suku pertama tahun sebelumnya.
Jelasnya, jumlah kutipan caruman, peratus Orang Berinsurans kembali bekerja menerusi Program Return-To-Work (RTW) dan lain-lain menghasilkan pulangan positif dengan jumlah lebihan pendapatan keseluruhan sebanyak RM608 juta sehingga bulan lalu iaitu peningkatan 1.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Momentum pertumbuhan positif ini diharap mampu diteruskan sehingga penghujung tahun ini, sekali gus berupaya menyambung legasi kecemerlangan pencapaian yang dilakar Perkeso pada tahun lalu.
“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Perkeso untuk tahun ini diharap dapat dicapai dengan sasaran sejuta individu bekerja sendiri mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) serta 500,000 wanita mendaftar dan mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
“Selaras misi 3K Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan pekerja serta seiring prinsip Perkeso ‘no one is left behind’ perancangan strategik Perkseo dalam memperluas jaringan keselamatan sosial menerusi Skim Kemalangan Bencana Bukan Kerja (SKBBK) juga disasar untuk direalisasikan tahun ini demi perlindungan keselamatan sosial yang lebih mapan, holistik dan komprehensif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Steven Sim hadir pada Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang (AKC) dan Anugerah Khidmat Setia 2023 Perkeso.
Beliau meraikan 152 anggotanya meliputi 125 orang penerima AKC yang mencatatkan prestasi cemerlang semasa perkhidmatan sepanjang tahun lalu, manakala 27 lagi anggota Perkeso menerima Anugerah Khidmat Setia Perkeso.
Beliau pada majlis berkenaan menegaskan, pengiktirafan kepada anggota yang cemerlang merupakan satu manifestasi penghargaan yang berupaya menyuntik motivasi dan inspirasi kepada anggota Perkeso lain, demi kemaslahatan kebajikan pencarum serta keberkesanan perkhidmatan pertubuhan itu. – KOSMO! ONLINE.