PETALING JAYA – Misi skuad bawah 19 (B-19) negara untuk mempertahankan kejuaraan Piala ASEAN B-19 nampak mudah selepas diundi dalam Kumpulan C pada kempen yang bermula 17 hingga 27 Julai di Surabaya, Indonesia.
Pada majlis undian yang berlangsung petang tadi, skuad remaja Harimau Malaya telah diundi bersama Thailand, Singapura dan Brunei.
Susulan itu, ketua jurulatih B-19 kebangsaan, Juan Torres Garrido telah memanggil 36 pemain B-19 bagi menjalani kem latihan pusat bermula 2 Jun depan.
Seramai 10 pemain kelab feeder Selangor FC telah dipanggil dan 10 pemain pasukan JDT, Akademi Mokhtar Dahari (tiga pemain), TFC (tiga pemain), NSFC (dua pemain), Penang FC (dua pemain) dan Sabah FC (dua pemain).
Empat lagi pemain merupakan wakil kelab feeder KDA FC, KDN FC, Melaka FA dan Perak FC.
Pada saingan Piala ASEAN B-19 yang dulu dikenali sebagai Piala AFF B-19 edisi 2022, skuad negara berjaya meraih kejuaraan selepas menewaskan Laos 2-0 di pentas final.
Pasukan B-19 negara pernah bergelar juara dua kali pada kejohanan dwitahunan itu apabila turut mendominasi edisi 2018 selain sebanyak enam kali meraih status naib juara.
Sementara itu, tuan rumah, Indonesia diundi dalam Kumpulan A bersama Timor Leste, Kemboja dan Filipina manakala Laos, Vietnam, Myanmar, dan Australia diletakkan dalam Kumpulan B. – KOSMO! ONLINE