PUTRAJAYA – Pelaburan Google memberi nilai tambah kepada usaha Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mempertingkatkan program celik kecerdasan buatan (AI) bagi manfaat murid dan guru.
KPM dalam kenyataan berkata, pelaburan itu juga adalah bagi memenuhi keperluan perkomputeran awan yang semakin meningkat ketika ini.
“Inisiatif seperti Gemini Academy dan Experience AI yang sedang berjalan adalah bertepatan dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang bertujuan untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.
“Ini dilaksanakan menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai murid, pendidik dan pemimpin pendidikan, penyediaan infrastruktur, infostruktur dan kandungan yang berkualiti.
“Selain penyertaan aktif rakan strategik secara bersepadu serta menyeluruh dari peringkat prasekolah hingga lepasan menengah,” katanya hari ini.
Jelas KPM, kerjasama strategik yang terjalin antara KPM dengan peneraju teknologi seperti Google adalah penting untuk pengukuhan pelaksanaan DPD serta untuk memastikan usaha mereformasikan pendidikan negara berjaya.
Terdahulu, Google menyatakan komitmen untuk melabur RM9.4 bilion (AS$2 bilion) bagi mewujudkan pusat data pertama dan wilayah Google Cloud di Malaysia dengan Elmina Business Park milik Sime Darby Property Bhd di Greater Kuala Lumpur menjadi destinasi pilihan.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, komitmen pelaburan baharu Google itu dijangka menyokong 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai sektor di Malaysia termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan dengan jumlah impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion (AS$3.2 bilion). – KOSMO! ONLINE