fbpx

Pecah amanah: Bekas Presiden Persatuan Pemulihan Orang Cacat dipenjara, denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarulzaman (kiri) dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah wang hasil penjualan tanah berjumlah RM492,474, lima tahun lalu. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

IPOH – Bekas Presiden Persatuan Pemulihan Orang Cacat (PPOC) Perak dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah wang hasil penjualan tanah berjumlah RM492,474, lima tahun lalu.

Tertuduh, Kamarulzaman Abdullah, 65, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Hukuman tiga hari penjara terhadap Kamarulzaman itu berjalan serentak dari tarikh sabitan hukuman, hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh ditambah lapan bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu yang merupakan Presiden PPOC yang diamanahkan dengan wang hasil penjualan dua bidang tanah Lot 536339 dan Lot 536340 di Kampung Tengku Husin Baharu di Ipoh milik persatuan bernilai RM540,000, didakwa telah melakukan pecah ananah jenayah dengan memindahkan sebahagian wang penjualan tanah berjumlah RM413,974 ke dalam lima akaun peribadinya.

Tertuduh juga didakwa bagi pertuduhan kedua dan ketiga apabila melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang masing-masing berjumlah RM30,000 dan RM48,500 ke dalam akaun bank dua buah syarikat milik anak tiri perempuannya berusia 48 tahun.

Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan tersebut di Maybank Cawangan Gunung Rapat di dalam daerah Ipoh, Perak pada 8 November dan Disember 2019 serta 1 Januari 2020.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Shafiqzan Suhaimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding sama, mahkamah turut memerintahkan wang tunai yang disita berjumlah RM11,200 dan wang simpanan sebanyak RM49,903 di dalam akaun empat buah bank beserta faedah sehingga 30 Mei 2024 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Selain itu, Hakim Datuk Ibrahim juga memutuskan agar semua barang-barang kes diserahkan kembali kepada pihak pendakwaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI