fbpx

Mohamed Khaled tiba di Singapura bagi mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (tengah) diiringi Mohammad (kiri) ketika tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

SINGAPURA – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memulakan lawatan kerja rasmi ke Singapura hari ini.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Changi di sini kira-kira pukul 4 petang diiringi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Ketibaan Mohamed Khaled bersama delegasi Kementerian Pertahanan (Mindef) disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Singapura, Datuk Dr. Azfar Mohamad.

Turut hadir Penasihat Pertahanan Singapura, Kolonel Dean Tan Wah Kheng dan Penasihat Pertahanan Malaysia di Singapura, Kolonel Rosidi Mat Saad.

Lawatan selama empat hari itu diadakan sempena mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan (FDMM) Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) ke-12 yang dijadual berlangsung esok.

Mesyuarat itu melibatkan Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen, Menteri Pertahanan New Zealand, Judith Collins dan Ketua Delegasi United Kingdom, Paul Wyatt.

Mesyuarat itu antara lain adalah bagi membincangkan ‘Anniversary Stock-Take’ ke-50 serta latihan dan aktiviti FPDA sejak FDMM ke-11 selain pelan hala tuju perjanjian tersebut pada masa hadapan.

Selain itu, Mohamed Khaled turut dijangka membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong di samping melaksanakan pertemuan bilateral bersama pemimpin beberapa negara lain.

Dalam rangka lawatan sama, Mohamed Khaled juga dijadual menghadiri pembukaan Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-21 Dialog Shangri-La 2024 (SLD24).

Beliau dijangka menyampaikan ucaptama pada sesi ketujuh sidang berkenaan yang diadakan mulai 31 Mei hingga 2 Jun ini.

Khaled berkata, pertemuan itu merupakan ruang yang cukup penting bagi negara yang terlibat untuk mengadakan perbincangan soal cabaran keamanan dan keselamatan rantau disamping meneroka pendekatan baharu yang boleh dilaksanakan.

“Kesempatan yang ada juga akan digunakan untuk terus mengukuhkan hubungan pertahanan dengan negara-negara rakan melalui pertemuan dengan pemimpin kerajaan dan angkatan tentera negara luar yang kini berada di Singapura bersempena dua acara berprestij ini,” katanya.

Sebelum itu, beliau dijadual menghadiri perjumpaan bersama warga Suruhanjaya Tinggi Malaysia hari ini sebagai simbolik pra-majlis FDMM dan SLD24. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI