LONDON – Kota London muncul sebagai bandar paling bijak di dunia, diikuti dengan Tokyo di tempat kedua, demikian menurut data baharu yang dikeluarkan oleh firma penasihat ekonomi bebas, Oxford Economics.
Akhbar Metro UK melaporkan, ibu negara Britain itu menempatkan 40 institusi pendidikan di dalam dan sekitarnya termasuk London School of Economics dan Kolej Imperial London yang berprestij. Ia juga mempunyai lebih 200 muzium dan 800 galeri seni.
Data tersebut menilai bandar raya global, indeks dan penarafan ekonomi, modal insan (kepintaran), kualiti hidup, alam sekitar serta tadbir urus.
Tempat ketiga bagi kedudukan tersebut adalah Riyadh, Arab Saudi, diikuti dengan New York, Amerika Syarikat (AS); Seoul, Korea Selatan; Paris, Perancis; Washington, AS; Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE); Sydney, Australia dan Boston, AS.
Washington DC yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat menempatkan bangunan persekutuan seperti Capitol Hill, White House dan Mahkamah Agung. Ia juga mempunyai beberapa universiti yang terkenal antaranya, George Washington, Georgetown dan Howard.
New York dianggap sebagai bandar terbaik di dunia semata-mata berdasarkan sumbangan penting kepada ekonomi global serta menjadi hab pendidikan dan inovasi perniagaan bagi mengekalkan kualiti hidup yang tinggi. – Agensi