LUMUT – Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Teluk Intan – Lumut, berhampiran Dewan Orang Ramai Batu 8 Lekir, dekat sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata lelaki berusia 25 tahun itu maut di lokasi kejadian.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.14 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung tiba di lokasi 12 minit kemudian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, sebaik tiba pihaknya mendapati terdapat seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu kereta jenis Perodua Bezza dan mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas.
Jelasnya, mangsa didapati telah meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE