fbpx

Lari tinggalkan kenderaan, JKDM sita arak, rokok RM12.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADZRI (empat dari kanan) menunjukkan minuman keras yang dimuatkan di dalam sebuah Toyota Estima di Pejabat JKDM negeri di Ayer Keroh, Melaka, hari ini. -Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) negeri merampas pelbagai jenama minuman keras dan rokok seludup bernilai RM12.8 juta dalam dua kes berasingan di Johor Bahru dan Batu Pahat, Johor.

Pengarah JKDM Melaka, Nadzri Che Ani berkata, kes pertama membabitkan pemeriksaan ke atas tiga buah kenderaan yang ditinggalkan pemandunya selepas dikejar penguat kuasa kastam pada Isnin lalu.

Katanya, sebanyak 4,222.56 liter minuman keras pelbagai jenama melibatkan nilai termasuk cukai berjumlah RM203,603.12 ditemukan dalam dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dan sebuah Toyota Lexus terlibat.

“Bahagian Penguatkuasaan JKDM mengesan tiga buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan telah mengejarnya di sekitar Johor Bahru dan Batu Pahat, pemandu bagaimanapun telah meninggalkan kenderaan dan berjaya meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan kita menemui minuman keras dimuatkan di dalam kenderaan tersebut dan terdapat cetakan MDNP pada setiap tin yang membawa maksud Malaysia Duty Not Paid,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM negeri di Ayer Keroh, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kes kedua merupakan rampasan rokok dan minuman keras bernilai RM12,593,550 yang dibuat di sebuah gudang di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor pada 28 Februari lalu.

“Gudang tersebut berkunci dan pasukan telah menunggu selama enam jam untuk mengesan sekiranya terdapat sebarang pergerakan sebelum akhirnya memecah masuk ke dalam premis pada pukul 6.30 petang.

“Hasil pemeriksaan pasukan menjumpai 15,170,000 batang rokok dan 33,835 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai lebih RM12 juta yang disimpan di dalam gudang dan dua buah lori serta sebuah kontena di dalam premis tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya masih lagi menyiasat sama ada kedua-dua kes mempunyai kaitan atau rangkaian sindiket yang terlibat dalam penyeludupan rokok dan minuman keras bagi pasaran di bahagian selatan.

Ujarnya, kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI