PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan sebanyak 177 projek iaitu bersamaan 20,489 unit perumahan swasta berjaya dipulihkan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 April lalu.
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pemulihan itu melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM14.89 bilion.
Katanya, jumlah projek berjaya dipulihkan merangkumi 163 projek yang sudah mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) selain 11 projek yang berstatus sakit kembali menjadi lancar dan tiga projek terbengkalai sudah dipulihkan.
“Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) telah berjaya menyelesaikan sebuah projek perumahan swasta yang terbengkalai pada Mac lalu iaitu di Taman Desa Barakah (Fasa 5) Tanah Merah, Kelantan.
“Projek berkenaan telah diisytiharkan sebagai terbengkalai pada April 2022 dan baru-baru ini ia telah pun dipulihkan melalui kaedah penyelesaian pembeli,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE