MUNICH – Bayern Munich mengesahkan bahawa Vincent Kompany dilantik sebagai pengendali baharu pasukan itu dengan kontrak selama tiga tahun sekali gus menamatkan proses pencarian jurulatih baharu mereka.
Kompany yang gagal membantu Burnley kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini disahkan sebagai pengganti kepada Thomas Tuchel yang membuat keputusan meninggalkan Allianz Arena selepas hanya semusim mengemudi gergasi Bundesliga tersebut selepas ia menjadi musim paling malang buat Bayern yang gagal meraih sebarang trofi.
“Saya teruja dan tidak sabar untuk menghadapi cabaran bersama Bayern. Ia adalah satu penghormatan untuk bekerja bersama kelab yang cukup hebat ini.
“Saya akan memulakannya dengan perkara asas, bekerja dengan para pemain dan membina pasukan ini. Apabila perkara asas ini berada di landasan yang betul, kejayaan akan tiba,” katanya.
Pemilihan Kompany oleh Bayern dikaitkan dengan cadangan yang diberikan oleh Pengurus Manchester City, Pep Guardiola yang meyakinan pihak pengurusan The Bavarian untuk memberikan kepercayaan terhadap jurulatih muda dari Belgium itu.
“Vincent Kompany adalah seorang jurulatih yang tepat dengan apa yang diinginkan oleh Bayern kerana kelab ini memiliki falsafah dan identiti. Beliau masih muda dan memiliki cita-cita serta pengalaman luas di peringkat antarabangsa,” jelas Pengarah Sukan Bayern, Christoph Freund. – KOSMO! ONLINE