MANJUNG – Kerajaan diminta mempertimbangkan untuk membina sekolah berasrama penuh (SBP) di daerah ini kerana ia terbukti berjaya melahirkan modal insan berkualiti di negara ini.
Pengerusi Majlis Belia Daerah Manjung, Muhammad Anwar Azwan Ali Basri berkata, berdasarkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, peningkatan peratus lulus meningkat dari 87.26 peratus pada 2022 kepada 90.04 peratus tahun ini.
Menurut beliau, pihaknya berpandangan keputusan peperiksaan SPM tahun ini adalah satu keputusan yang cemerlang.
“Peningkatan ini seharusnya lebih tinggi sekiranya ada pembukaan SBP dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di daerah ini kerana Manjung pesat membangun, sebagai contoh dari segi penjanaan ekonomi ia sangat baik.
“Belia sendiri ingin melihat dan merasa SBP atau MRSM wujud di daerah Manjung agar kelangsungan pembelajaran yang kondusif dikongsi bersama seterusnya boleh melaksanakan program bermanfaat,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Mengulas lanjut, Muhammad Anwar Azwan berkata, Belia Manjung sentiasa menyokong penuh akan pembukaan SBP atau MRSM di daerah ini kerana ia menjadi pilihan utama ibu bapa mahupun pelajar sekarang.
Selain itu, katanya, SBP dan MRSM juga dapat membantu golongan B40 yang tidak berkemampuan dari segi kewangan dan membantu pelajar yang cemerlang seterusnya dapat mengubah nasib keluarga mereka.
“Sekiranya SBP dan MRSM ini dibuka akan terlahirnya lebih ramai cendekiawan pelajar bijak pandai dan pintar dari daerah Manjung seterusnya menambah minat untuk belajar.
“Sehubungan itu, Belia Manjung sendiri merayu agar pertimbangan untuk menyediakan kemudahan pendidikan seperti ini di sini dapat perhatian menyeluruh khususnya pihak Kementerian Pendidikan (KPM), Majlis Amanah Raya (Mara) serta kerajaan negeri Perak,” katanya. – KOSMO! ONLINE