fbpx

‘Kami belum lega, tetap tolak projek asrama warga asing’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peserta yang menyertai perhimpunan aman bagi membantah projek pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar, Disember lalu.

GEORGE TOWN – Jawatankuasa Bantahan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar menjelaskan yang mereka belum berupaya menarik nafas lega dengan pengumuman penarikan semula Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) daripada salah satu pemaju projek itu, semalam.

Pengerusi Induknya, Prof Muhamad Idiris Salleh berkata, ketika ini hanya pemaju iaitu Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn. Bhd. yang telah menarik balik PKM tersebut pada 9 Mei lalu.

Menurutnya, satu lagi pemaju iaitu Chong Company Sdn. Bhd. masih belum memberi sebarang maklumbalas termasuk belum bersedia bersemuka dengan jawatankuasa bantahan sehingga ke hari ini.

“Kami memang berterima kasih dengan pihak kerajaan negeri dan pemaju (Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn. Bhd.) dengan pengumuman itu tetapi kami belum boleh berlapang dada dengan khabar yang diterima.

“Sedangkan Ketua Menteri sendiri mengatakan yang Teluk Kumbar tidak sesuai untuk dijadikan asrama warga asing, kenapa perlu tunggu pihak pemaju berkenaan untuk sediakan semula laporan Social Impact Assessment (SIA), Traffic Impack Assessment (TIA) dan lain-lain.

“Sepatutnya terus tolak dan batalkan sahaja. Walau apa pun berlaku, pihak kami tetap menolak sekeras-kerasnya apa sahaja bentuk pembinaan melibatkan asrama warga asing di kawasan ini,” katanya di sini, hari ini.

Muhamad Idiris. Foto oleh SAFINA RAMLI/KOSMO!

Semalam, kerajaan negeri menjelaskan salah satu pemaju projek pembinaan asrama pekerja warga asing di kawasan Teluk Kumbar telah menarik balik Permohonan Kebenaran Merancang
(PKM) projek berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye dalam sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang berkata, pemaju berkenaan iaitu Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn. Bhd. telah menarik balik PKM tersebut pada 9 Mei lalu.

Sebelum ini, dalam Sidang DUN pada 27 November tahun lalu, Mooi Lye memaklumkan bahawa kerajaan negeri menerima dua permohonan daripada pemaju bagi projek pembinaan asrama pekerja di kawasan Teluk Kumbar, di sini.

Permohonan pertama melibatkan pembinaan satu blok bangunan asrama pekerja setinggi 27 tingkat.

Ia terdiri daripada ruang kedai enam unit di aras satu, kemudahan rekreasi di aras satu dan dua dan 26 tingkat asrama pekerja melibatkan 512 unit di atas lot 1859, 1860 da 1865, Tingkat Teluk Kumbar, Mukim 9, Teluk Kumbar oleh Tetuan Chong Company Sdn. Bhd.

Permohonan kedua adalah perlingkungan semula dari zon perumahan am, zon rezab pantai dan zon jalan sedia ada kepada zon perniagaan am serta penambahan ketinggian bangunan daripada lima kepada 30 tingkat untuk pembangunan di atas lot 1435 dan 1437, Mukim 9, Teluk Kumbar oleh Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn. Bhd.

Bagaimanapun, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah meluluskan satu PKM oleh pemaju Tetuan Chong Company Sdn. Bhd. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI