MEKAH – Seramai 5,681 jemaah haji Malaysia telah menerima rawatan di Pusat Rawatan Tabung Haji di Madinah dan Mekah setakat ini.
Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr. Marsudi Manah berkata, jumlah tersebut dicatatkan sejak hari pertama ketibaan jemaah haji KT01 sehingga semalam.
Katanya, daripada jumlah terbabit, hampir 30 peratus jemaah yang datang mendapatkan rawatan berkaitan penyakit respiratori seperti masalah batuk, selesema, demam dan sakit otot.
“Berdasarkan nisbah purata kedatangan pesakit pula adalah kira-kira empat pesakit per 100 jemaah. Ia diambil mengikut jumlah jemaah haji yang telah tiba kira-kira 17,000 orang.
“Tidak dinafikan ia angka yang besar berdasarkan kumulatif dari hari pertama sehingga sekarang. Bagaimanapun, kalau diambil kira jumlah jemaah haji yang ada sekarang, angka ini dalam keadaan terkawal,” katanya.
Dr. Marsudi yang juga Pakar Kesihatan Awam di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah berkata, rutin perubatan kebanyakan jemaah haji berubah ekoran teruja beribadah.
“Kita minta pakai pelitup muka untuk lindungi diri daripada persekitaran ini walaupun Covid-19 terkawal.
“Pasukan perubatan Tabung Haji sentiasa mengadakan lawatan dari bilik ke bilik untuk memberi penekanan supaya memakai pelitup hidung dan mulut,” jelasnya.
Dalam pada itu Dr. Marsudi berkata, pihak Tabung Haji sentiasa berhubung dengan Kementerian Kesihatan Arab Saudi untuk berwaspada ekoran penularan kembali Covid-19 melibatkan varian baharu di beberapa buah negara.
Seramai 278 petugas perubatan daripada pelbagai bidang akan menyantuni duyufurrahman tahun ini dengan 40 muka lama dan bakinya merupakan orang baharu.
“Selain doktor dan pakar, kita turut bawa pegawai perubatan, jururawat, penolong pegawai perubatan, unit sokongan makmal, pakar pemakanan, pergigian dan fisiologi.