PETALING JAYA – Kerajaan memberi jaminan jaringan keselamatan sosial negara dapat terus diperkukuh dan diperluaskan serta dirasai dan dinikmati oleh rakyat yang berhak ke atasnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan telah membincangkan strategi pengukuhan program insurans sosial sebagai persediaan negara menghadapi risiko negara tua ketika Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) Kali Ke-7, Bilangan 1 Tahun 2024.
Katanya, menjelang tahun 2030, Malaysia bakal menuju ke arah negara tua dan situasi itu berpotensi meletakkan sebahagian rakyat terutamanya golongan tua kepada pelbagai risiko.
“Antaranya seperti isu kemiskinan, masalah kesihatan dan perubatan, kekurangan simpanan persaraan serta penurunan produktiviti tenaga buruh hatta semua ini boleh menimbulkan implikasi kritikal terhadap prospek fiskal negara.
“Walhasil, pemantapan kerangka insurans sosial negara ini tidak hanya berasaskan pekerjaan tetapi turut meliputi kepada pembangunan individu dan negara secara lebih menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Jelasnya, perkara itu sekaligus dapat membawa kepada anjakan daripada pendekatan bantuan sosial yang berasaskan kebajikan kepada perlindungan risiko mengikut kitaran hidup rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE.