LONDON – Ferrari menjangkakan bahawa Charles Leclerc akan terus mencipta kemenangan selepas pemandunya itu melakukan kejutan menjulang trofi kemenangan sulungnya di laman sendiri pada Grand Prix (GP) Monaco, Ahad lalu.
Pasukan dari Itali itu kini telah memenangi dua daripada lapan perlumbaan GP musim ini menerusi Leclerc dan Carlos Sainz di Australia pada Mac lalu, sekali gus meletakkan Ferrari kembali dalam momentum cemerlang untuk mengatasi Red Bull.
Ketua Pasukan Ferrari, Fred Vasseur percaya bahawa kemenangan tersebut melonjakkan semangat Leclerc selepas impian pemandu berusia 26 tahun itu meleraikan tekanan mencipta kemenangan di Monaco akhirnya tercapai.
“Saya rasa kemenangan ini adalah sesuatu yang penting. Sebelum ini, dia (Leclerc) menyimpan bebanan di bahunya selama bertahun-tahun mengenai peluang mencipta kemenangan di Monaco.
“Kadang-kadang penampilannya di Monaco tidak berapa baik selepas melakukan kesilapan di sesi latihan pertama dan juga kedua.
“Saya fikir dengan pengalaman sebelum ini dan juga keyakinan yang dibina, Leclerc akan terus bergerak ke hadapan,” kata Vasseur selepas meraikan kemenangan pasukannya di Monaco.
Sebagai rekod, Leclerc yang berjaya mengungguli GP Monaco telah mencipta sejarah baharu selepas kali terakhir pelumba Monaco berjaya mencipta kemenangan di litar tersebut menerusi Louis Chiron pada 1931. – AGENSI