LONDON – Parlimen Britain dibubarkan hari ini menjelang pilihan raya umum pada 7 Julai ini yang dijangka membawa kemenangan kepada Parti Buruh selepas 14 tahun Parti Konservatif berkuasa.
Kempen pilihan raya selama lima minggu juga secara rasmi bermula apabila 650 kerusi Parlimen bertukar kosong, satu minit selepas pukul 12 malam (waktu tempatan) atau jam 7.01 pagi (waktu Malaysia) selaras dengan jadual pilihan raya.
Perdana Menteri Rishi Sunak menetapkan tarikh pilihan raya pada 4 Julai 2024 dan bukannya akhir tahun ini seperti jangkaan ramai. Pemerhati-pemerhati politik berkata, langkah itu bertujuan mendapatkan kembali momentum selepas tinjauan pendapat mendapati sokongan rakyat kepada Parti Konservatif merosot.
Selepas 14 tahun menjadi pembangkang, Parti Buruh kini memiliki peluang cerah untuk kembali berkuasa dengan bekas peguam hak asasi manusia, Keir Starmer sebagai peneraju.
Setakat ini, kira-kira 129 anggota Parlimen mengumumkan bahawa mereka tidak akan bertanding semula. Antaranya ialah 77 wakil rakyat Konservatif dalam perkembangan di luar jangkaan untuk parti pemerintah.
Tinjauan pendapat baharu mendapati 45 peratus rakyat Britain memilih Parti Buruh berbanding 23 peratus yang menyokong Parti Konservatif.
Jika berpandukan sistem pilihan raya majoriti mudah Britain, Parti Buruh dijangka memperoleh kemenangan besar. – AFP