Baru-baru ini, saya melihat di berita bahawa jenazah suspek insiden serangan bersenjata diasingkan daripada kubur orang Islam yang lain untuk memberi pengajaran kepada orang lain agar tidak mengulangi perbuatan tersebut. Adakah cara ini dibolehkan?
Jawapan: Arahan untuk mengasingkan kubur suspek serangan tersebut dibolehkan atas pertimbangan pemerintah yang tertakluk kepada maslahat iaitu sebagai peringatan kepada orang lain agar tidak mengulangi perbuatan sama.
Tindakan tersebut juga tidak bercanggah dengan syariat, bahkan ia bertepatan fatwa sebahagian ulama untuk mengebumikan orang-orang fasiq di kubur yang berasingan daripada orang Muslim lain.
Perbuatan menyerang orang lain dengan senjata dikira sebagai perbuatan hirabah yang merupakan dosa besar dan boleh dikenakan hudud. Hal ini berdasarkan firman Allah SAW:
“Hanya sanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.”
Berkaitan isu ini, perbuatan mengasingkan kubur suspek serangan bersenjata sebagai peringatan kepada masyarakat tidak ada disebut secara khusus oleh para ulama.
Namun, ia boleh disamakan dengan fatwa pengasingan kubur orang yang meninggalkan solat seperti yang disebut oleh al-Allamah Abdul Rahman bin Muhammad al-Masyhur, kata beliau:
“Bahkan (orang yang meninggalkan solat) sepatutnya dikebumikan di tempat yang jauh daripada muslimin dan tempat itu dinamakan perkuburan orang-orang fasiq seperti yang disebut oleh al-Qutb al-Sayyid Ahmad bin Sumait.”
Arahan untuk mengasingkan kubur suspek serangan tersebut dibolehkan atas pertimbangan pemerintah yang tertakluk kepada maslahat iaitu sebagai peringatan kepada orang lain.
Tindakan tersebut juga tidak bercanggah dengan syariat, bahkan ia bertepatan dengan fatwa sebahagian ulama.