LONDON – Selepas dua musim berturut-turut berputih mata untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal mula mengorak langkah membentuk skuad terbaik menjelang kempen 2024/25.
Difahamkan, pengurusnya, Mikel Arteta mahu melaksanakan projek Kai Havertz 2.0 iaitu mendapatkan khidmat penyerang Manchester United, Marcus Rashford yang dilihat bergelut dengan prestasi semasa.
Sebelum ini, Havertz yang dibawa masuk dari Chelsea kembali menunjukkan prestasi sebenar apabila menjaringkan 13 gol selain melakukan tujuh umpanan dalam saingan liga meskipun kemampuannya diragui ketika mula menjejakkan kaki di Emirates.
Ramai beranggapan bahawa Arteta mampu untuk menghidupkan semula karier Rashford selepas bintang England itu mengharungi musim suram apabila sekadar menjaringkan lapan gol dalam semua pertandingan.
Pencapaian itu jauh berbeza dengan prestasi terbaiknya pada kempen 2022/23 apabila dia berjaya meledak 30 gol dalam 56 perlawanan, sekali gus menyaksikan khidmatnya diburu kelab-kelab ternama Eropah.
Meskipun Arsenal dan United boleh dianggap sebagai musuh tradisi dalam saingan EPL, namun perpindahan itu bukan perkara mustahil memandangkan United pernah mendapatkan khidmat penyerang berbisa The Gunners, Robin van Persie pada 2012.
Berdasarkan beberapa laporan media di England, Arteta sudah memulakan langkah bagi mendapatkan Rashford apabila kedua-dua belah pihak mengadakan pertemuan rahsia bagi membincangkan perkara berkenaan. – AGENSI