fbpx

Yayasan Perak, LG Electronics meterai MoU projek papan pengiklanan digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Yayasan Perak dan LG Electronics di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Yayasan Perak memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan LG Electronics (M) Sdn. Bhd. (LG Electronics) hari ini melalui Syarikat MZK Resources Sdn. Bhd. bagi projek papan pengiklanan digital berteknologi terkini di negeri ini.

Yayasan Perak yang diwakili oleh Pengurus Besarnya, Dr. Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan bersama Pengarah Urusan LG Electronics, Justin Choi serta Ketua Pegawai Eksekutif MZK Resources, Mohd. Zahar Harun telah menandatangani MoU itu.

Menyaksikan pemeteraian MoU berkenaan ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad selaku Pengerusi Yayasan Perak.

Menurut Nasreen Khanum, kerjasama itu telah berjaya membawa pelaburan ke Perak sekali gus memberi manfaat kepada sosioekonomi dalam meningkatkan kebolehpasaran perniagaan melalui pengiklanan secara digital seiring dengan kemajuan teknologi terkini.

“Selain itu, kerjasama ini turut membawa inovasi baru kepada teknologi papan pengiklanan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan bagi kemahiran teknikal dan vokasional di Perak.

“Dianggarkan sekitar 200 peluang pekerjaan berkemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional dapat dilahirkan kepada rakyat negeri ini menjelang Perak Sejahtera 2030,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, ini adalah pelaburan pertama syarikat LG Electronics di negeri ini yang melibatkan pelaburan sebanyak RM40 juta dari segi pembinaan infrastruktur yang berkaitan papan pengiklanan digital ini hasil kerjasama strategik bersama Yayasan Perak dan MZK Resources.

Menurut Nasreen Khanum, melalui kerjasama strategik itu sebanyak 10 lokasi telah dikenal pasti terutama di Ipoh bagi fasa pertama papan pengiklanan digital sekali gus menarik perhatian masyarakat setempat dan juga pelancong bertepatan dengan Tahun Melawat Perak 2024.

“Kerjasama ini turut dapat meningkatkan kemahiran anak tempatan melalui pemindahan teknologi dan perkongsian tenaga pakar. Ia juga dapat merancakkan perkembangan ekonomi negeri dengan publisiti dan penyaluran maklumat yang lebih efisien,” katanya.

Sementara itu, Justin berharap melalui teknologi terkini LG, nilai estetika bandar Ipoh dapat ditingkatkan dengan paparan imej yang lebih bertenaga dan juga dapat digunakan sebagai platform untuk mempromosikan kegiatan ekonomi negeri, produk-produk tempatan serta hebahan aspirasi dan fokus negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI