PETALING JAYA – UMW Lubetech Sdn. Bhd. (UMW Lubetech), anak syarikat milik penuh Sime Darby Berhad dilantik untuk mengeluarkan dan mengedar produk di bawah rangkaian Grantt Engineering Products (GEP).
Pengarah Kumpulan Pembuatan dan Kejuruteraan UMW, Anas Nasrun Mohd. Osman berkata, edaran rangkaian produk GEP itu dilakukan secara eksklusif melalui pengedar sahnya seluruh negara dan di Asia Tenggara.
Beliau berkata, seirang dengan pelantikan itu juga, UMW Lubetech akan memperkenalkan barisan baharu produk GEP iaitu penyejuk dan cecair brek pada Jun ini.
“Di samping penambahan baharu ini, UMW Lubetech turut menawarkan rangkaian minyak gear di bawah jenama GEP.
“Barisan produk GEP ditetapkan untuk mentakrifkan semula industri automotif dengan penyelesaian pelincirnya yang inovatif,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Anas Nasrun berkata, dengan kerjasama dan pelantikan itu, ia dapat mengukuhkan lagi kedudukan syarikat terbabit sebagai peneraju dalam rangkaian pelincir automotif di negara ini.
“Kami sangat teruja untuk memulakan perjalanan ini dengan pelancaran akan datang penyejuk dan cecair brek daripada GEP.
“Kerjasama ini adalah sebagai komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk menyediakan pelanggan dengan produk pelincir automotif termaju yang mampu meningkatkan prestasi dan kecekapan,” jelasnya.
Untuk maklumat lanjut berkenaan produk UMW Lubetech dan rangkaiannya, sila layari https://lubetech.my. – KOSMO! ONLINE