HOUSTON, TEXAS – Ribut petir yang kuat menggegarkan Dallas-Fort Worth Metroplex dan bandar Houston semalam, menyebabkan lebih sejuta pelanggan utiliti terputus bekalan elektrik, lapor laman berita Fox News.
Ia berlaku ketika cuaca buruk melanda seluruh wilayah dan membawa hujan batu sebesar bola besbol, tiupan angin ribut taufan dan kerosakan yang ketara di beberapa komuniti.
Siren amaran luar dibunyikan dan telefon bimbit menerima pemberitahuan kecemasan ketika Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan mengeluarkan Amaran Ribut Petir serta Amaran Puting Beliung Teruk di seluruh Texas Utara.
Daerah Dallas terjejas teruk dengan gangguan bekalan elektrik, di mana pegawai memberi amaran bahawa ia dijangka berlarutan selama beberapa hari.
Selain itu, Hakim Daerah Dallas, Clay Lewis Jenkins berkata, beliau mengarahkan pejabat peguam daerah menyediakan pengisytiharan bencana ekoran cuaca buruk dan gangguan bekalan elektrik, yang ditandatanganinya pada petang semalam.
Sementara itu, agensi berita United Press International melaporkan, ribut kuat yang melanda selatan Amerika Syarikat pada hujung minggu lalu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 23 orang maut di negeri Texas, Kentucky, Oklahoma dan Arkansas setakat ini. – AGENSI