SYDNEY – Satu kaji selidik yang dijalankan laman AirlineRatings menamakan Qatar Airways sebagai syarikat penerbangan terbaik di dunia bagi tahun ini, lapor laman berita News.com.au semalam.
Syarikat berpangkalan di Doha itu merangkul gelaran tersebut setelah menyingkirkan pemenang tahun lalu, Air New Zealand.
Panel penilai yang turut dianggotai lima penyunting itu mempertimbangkan pelbagai kriteria termasuk keselamatan dan penilaian produk, usia pesawat, keuntungan, insiden serius, ulasan penumpang daripada beberapa sumber, inovasi serta pesanan kapal terbang untuk masa depan.
“Dalam analisis objektif kami, Qatar Airways muncul sebagai nombor satu dalam banyak bidang utama walaupun ia adalah pemarkahan yang sangat sengit untuk kedudukan 10 teratas,” kata Ketua Pengarang AirlineRatings.com, Geoffrey Thomas dalam satu kenyataan.
Menduduki tempat kedua dalam senarai 25 teratas ialah Korean Air dan diikuti oleh Cathay Pacific Airways.
Air New Zealand berada di kedudukan keempat, diikuti dengan Emirates, Air France/KLM, All Nippon Airways dan Etihad Airways.
Syarikat penerbangan Qantas dari Australia dan Virgin Australia/Atlantic masing-masing menduduki tempat kesembilan dan kesepuluh. – AGENSI