fbpx

Pereka kostum artis ‘bawa diri’ ke hutan, ‘job’ kurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sutex ketika menerima kunjungan Skuad Jejak Asnaf MAIWP di sebuah kediaman rakan artis hari ini.- Foto Ihsan FB MAIWP.

PETALING JAYA – Pereka kostum artis terkenal, Mansor Harun kini terpaksa tinggal di sebuah pondok dalam hutan selepas tidak mampu untuk menyara kehidupan.

Menurut sumber Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mansor atau nama timangan Sutex menetap di sebuah pusat rekreasi berhampiran hutan di Kemensah atas ihsan pemiliknya.

Jelasnya, Sutex, 64, tahun terpaksa tinggal di pusat rekreasi tersebut ekoran tidak menerima banyak ‘job’ sejak akhir-akhir ini.

Tambah sumber, sebelum ini, Sutex menetap di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur hampir 20 tahun sebelum diarahkan keluar dari premis yang disewanya sejak enam bulan lalu.

“Sebelum ini beliau menyara diri dengan bekerja sebagai pereka kostum, menjahit pakaian dan solekan untuk artis.

“Namun umur semakin meningkat dan sering jatuh sakit kerana masalah kesihatan, panggilan kerja telah berkurangan,”kata sumber kepada Kosmo!

Mengulas lanjut, sumber berkata, Sutex mempunyai masalah jantung dan mengalami tekanan mental yang kronik sejak akhir-akhir ini.

“Tiada ahli keluarga terdekat dan pasangan kerana masih berstatus bujang. Kehidupan bertambah sukar apabila sewa rumah tidak mampu dibiayai secara bulanan sehingga diminta keluar.

“Tiada pilihan melainkan membawa diri masuk ke hutan dan dibenarkan untuk tinggal sementara waktu di pondok yang berada di situ oleh pemilik tanah,”jelas sumber.

Dalam pada itu, menerusi perkongsian di laman Facebook MAIWP, pihak Skuad Jejak Asnaf telah membuat ziarah ke atas Sutex di sebuah rumah rakan seninya yang memberi ehsan berteduh sementara.

Kata MAIWP, pihaknya akan cuba membantu Sutex menerusi tiga bantuan iaitu bantuan kewangan bulanan, bantuan keperluan asasi (boost) serta bantuan deposit dan sewa rumah bulanan.

Sementara itu, Sutex ketika dihubungi Kosmo! memaklumkan dia berterima kasih kepada MAIWP atas tindakan pantas dan proaktif serta cakna menghulurkan bantuan kepadanya.

Katanya, penjelasan lanjut berkaitan keadaannya akan dimaklumkan kepada Kosmo! selepas ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI