PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengingatkan pengamal media supaya memelihara etika dan berintegriti dalam dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai.
Beliau berkata, tema yang dipilih sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) iaitu ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ harus dijadikan kayu ukur dan peringatan bersama kepada wartawan dan pengamal media mengenai kepentingan etika laporan serta sikap bertanggungjawab terhadap berita yang dikongsi dan bukan sekadar ‘click-bait’ semata-mata.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas dedikasi dan pengorbanan rakan-rakan wartawan dan pengamal media yang sentiasa komited dalam menyampaikan informasi sahih, berita benar dan maklumat tepat kepada masyarakat.
“Wira dan Wirawati tidak didendang ini memainkan peranan besar dalam proses membina negara terutamanya dalam membantu menyebarkan apa jua dasar, inisiatif serta program kerajaan, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Fadillah berkata, pada era digital ini di mana segalanya dapat diakses di hujung jari sahaja, beliau amat mengerti cabaran bagi rakan-rakan wartawan dan pengamal media.
“Namun saya percaya anda semua mampu mendepani apa jua cabaran mendatang, sekaligus memastikan industri media di negara ini tetap kekal relevan dan menjadi pilihan.
“Saya mendoakan semoga setiap insan bergelar wartawan dan pengamal media terus cekal dan tabah, serta sentiasa berpegang teguh kepada etika kewartawanan dan kerbertanggungjawaban dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE