REMBAU – Seorang penagih dadah didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menggigit lengan anggota polis yang sedang bertugas di Rumah Rakyat Chembong bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Azli Kamarudin, 37, dari Pedas membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.
Majistret turut menetapkan lima bulan penjara sekiranya tertuduh yang penganggur gagal menjelaskan denda.
Dalam prosiding berasingan, Muhammad Azli turut mengaku bersalah atas dakwaan memasukkan dadah jenis morfin ke dalam tubuhnya.
Majistret menjatuhkan hukuman denda RM2,500 bagi kesalahan itu atau lapan bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut, selain pengawasan polis selama dua tahun. – KOSMO! ONLINE