KUANTAN – Pasangan kembar qariah mencipta kenangan manis apabila masing-masing menang johan dan tempat ketiga Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi.
Pasangan kembar terbabit, Nor Hidayah Abdul Rahman, 33, merupakan johan menunggu dan Nor Jannah, 33, merupakan peserta mewakili Terengganu.
Nor Jannah berkata, kemenangan itu amat bermakna dan merupakan kenangan manis kedua buat dia dan kakaknya itu.
“Kira ini kali kedua buat kami yang mana sebelum ini di peringkat negeri, kakak menang sebagai johan manakala saya sebagai naib johan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup MTHQK yang diadakan di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, semalam.
Nor Hidayah pula berkata, kemenangan yang diraih itu adalah berkat doa ibu bapa, suami serta ahli keluarga.
Katanya, ayah mereka Abd. Rahman Omar, 74, merupakan seorang guru al-Quran menjadi inspirasi buat anak kelapan dan kesembilan daripada 10 beradik itu.
Sementara itu, qari dari Negeri Sembilan, Mohammad Husaini Mahmur, 32, berkata, penglibatan selama sembilan tahun dalam tilawah dengan enam kali mewakili negeri ke peringkat kebangsaan akhirnya membuahkan hasil apabila dia akhirnya dinobatkan sebagai juara. – KOSMO! ONLINE