PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan Malaysia sebagai lokasi berkecuali bagi pembuatan semikonduktor global untuk membina rantaian bekalan yang lebih besar dan terjamin.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau percaya Malaysia mampu menjadi penyumbang terulung dalam rantaian bekalan global seperti di dalam kerangka Ekonomi Madani.
“Walaupun tanpa dinamika geopolitik pengeluaran semikonduktor yang teguh dari pelbagai negara masih diperlukan demi kelangsungan umat manusia terutamanya ketika kita semakin kesuntukan masa dalam merendahkan risiko perubahan iklim.
“Hari ini saya menawarkan Malaysia sebagai lokasi yang paling neutral dan tidak berpihak kepada sesiapa untuk pengeluaran semikonduktor, demi membantu pembinaan rantaian bekalan semikonduktor global yang lebih selamat dan berdaya tahan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di CxO Summit Semicon Southeast Asia 2024 semalam.
Sehubungan dengan itu katanya, cadangan utama negara ‘Malaysia: Jambatan Teknologi Untuk Masa Depan Bersama Kita’ mencermin aspirasi ikhlas untuk mempromosikan teknologi demi kebaikan manusia sejagat, menjadi rakan dan kolaborator utama anda dalam industri semikonduktor global dan bermacam lagi.
“Sama ada anda berada di sini sebagai pelabur, dana kekayaan berdaulat, pengeluar, jurutera atau pembuat dasar, dalam perjalanan transformatif ini ke arah masa depan semikonduktor yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berimpak tinggi kepada Malaysia dan dunia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE