PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATMI) sebanyak RM62.2 juta bagi suku tahun pertama 2024 (Q1 2024), berbanding Kerugian Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti RM75.7 juta yang dilaporkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Lonjakan keuntungan terutamanya disebabkan oleh sumbangan lebih baik daripada loji janakuasa Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. (TBE), memandangkan kos arang batu purata wajaran rendah berikutan penstabilan harga arang batu global, ditambah dengan kos kewangan lebih rendah.
Di samping itu, peningkatan dibantu ketiadaan kerugian dari Loji Kuasa Air Bebas Al-Hidd (IWPP), iaitu rakan sekutu asing 40 peratus di Bahrain, serta kekurangan kerugian rosot nilai ke atas pelaburan Kumpulan dalam Al-Hidd IWPP.
Bagi tonggak Malakoff Environmental Solutions, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) mencatatkan PATMI sebanyak RM21.8 juta, iaitu peningkatan sebanyak 3.3 peratus daripada RM21.1 juta yang dilaporkan pada suku tahun pertama 2023.
Dari segi operasi, jumlah bahan kitar semula Alam Flora yang dikumpul meningkat sebanyak 17.8 peratus, bukti kesan positif usaha Kumpulan ke arah ekonomi kitaran.
Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, di samping pengembangan dalam sektor Tenaga Boleh Diperbaharui (RE), Kumpulan turut memberi tumpuan untuk memastikan kebolehgunaan dan kestabilan loji kuasanya bagi memenuhi keperluan keselamatan tenaga negara.
“Seperti yang dilaporkan oleh Pengendali Sistem Grid, grid Semenanjung mencapai paras tertinggi sepanjang masa iaitu 20,028 megawatt pada 29 April 2024, menunjukkan peningkatan permintaan dan keperluan penghantaran yang lebih tinggi untuk memenuhi keperluan tenaga.
“Di samping itu, harga arang batu terpakai (ACP) telah kembali stabil kerana harga arang batu global yang stabil dan ini memberi kelebihan kepada kami.
“Pengumuman baru-baru ini bahawa pengeluar tenaga bebas (IPP) boleh mula menjual elektrik terus kepada pengguna bermula bulan September, akan memberi manfaat kepada Kumpulan kerana membolehkan kami menjual elektrik terus kepada pelanggan menggunakan konsep ‘caj pusingan’, terutamanya dengan memanfaatkan aset brownfield kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar menambah, sebagai sebahagian daripada usaha ‘menghijaukan’ loji termal untuk peralihan tenaga yang bertanggungjawab, Kumpulan telah mencipta satu pencapaian penting bulan ini dengan melancarkan inisiatif nyah karbon projek kombinasi pembakaran biojisim di loji jana kuasa 2,100 megawatt TBP.
“Melalui projek ini, kami menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 15 peratus nisbah kombinasi pembakaran biojisim menjelang 2027, yang dijangka akan dapat mengimbangi sejumlah besar pelepasan setara karbon dioksida (CO2e), setanding dengan penanaman 142 juta pokok yang matang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE