PETALING JAYA – Malaysia bersetuju untuk melatih lebih ramai peserta dari Republik Kyrgyzstan dalam pelbagai bidang melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menerima Kunjungan Hormat dari Penasihat Dasar Luar kepada Presiden Kyrgyzstan, Muratbek Azymbakiev.
Beliau berkata, pertemuan itu antara lain membincangkan hala tuju kerjasama dalam pendidikan, di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk mengukuhkan lagi usahama itu termasuk melalui latihan dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk pelajar dan guru Kyrgyzstan.
“Kesempatan yang ada juga digunakan untuk berbincang mengenai pelantikan Penasihat Khas dari Malaysia ke Republik Kyrgyzstan untuk membantu dalam pembangunan ekonomi Kyrgyz.
“Dalam hal ini, saya maklumkan beberapa calon berpotensi telah dikenal pasti dan sedang dalam proses disenarai pendek oleh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Dalam pertemuan itu, Muratbek sempat menyampaikan surat dan cenderahati daripada Presiden Kyrgyzstan dan Ketua Kabinet.
Selain itu, Anwar turut menitipkan harapan agar hubungan kedua-dua negara terus terjalin lebih erat pada masa akan datang. – KOSMO! ONLINE