KUALA LUMPUR – Perbincangan berhubung lanjutan tempoh bagi pengisytiharan aset dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih berjalan antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan pihak peguam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau juga telah bersetuju bagi penambahan tempoh berkenaan.
“Pihak peguam Mizan telah hadir berhubung dengan pegawai penyiasat saya dan tetapkan tempoh mereka kena isytiharkan.
“Jadi kita sudah bersetuju dengan itu. Saya beri lagi penambahan tempoh untuk mereka isytiharkan harta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL2024) di sini hari ini.
Pada 18 Januari lalu, SPRM meminta kedua-dua anak Dr. Mahathir mengisytiharkan segala aset sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.
Bagaimanapun, pada 26 April lalu, Mokhzani dan Mirzan diberikan tempoh lanjutan 30 hari lagi di bawah 36 Akta SPRM 2009.
Untuk rekod, Mokhzani turut disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – KOSMO! ONLINE