PETALING JAYA – Pendarahan dialami anak kedua daripada tiga beradik The Family UK, Fatimah selepas menjalani prosedur pembedahan biopsi minggu lalu telah berhenti sepenuhnya.
Perkara tersebut dimaklumkan The Family UK menerusi satu hantaran di aplikasi X hari ini.
Bagaimanapun kata hantaran itu, meskipun pendarahan telah berhenti, namun keadaan Fatimah semakin teruk.
“Pendarahan Fatimah telah berhenti sepenuhnya sejak Jumaat lalu, tetapi malangnya keadaannya semakin teruk.
“Seperti yang dijadualkan, hari ini dia akan ditidurkan untuk biopsi lagi,” kata hantaran keluarga terbabit.
Pada hantaran sama, The Family UK memohon orang ramai supaya mendoakan Fatimah agar dipermudahkan urusan biopsinya.
“Kami sekeluarga dengan penuh rendah diri dan pengharapan ingin memohon jasa baik anda semua agar sudi untuk terus mendoakan kesayangan kami, Fatimah binti Omar Mukhlis.
“Semoga Allah permudahkan urusan biopsi Fatimah hari ini tanpa sebarang komplikasi. Semoga berkat doa ramai, Allah kurniakan keajaiban buat Fatimah,” ujarnya.
The Family UK turut berterima kasih kepada orang ramai yang tidak putus-putus bertanya khabar, tolong mendoakan dan juga menitipkan kata-kata semangat buat Fatimah dan mereka sekeluarga.
“Semoga segala jasa baik anda semua dikurniakan ganjaran pahala berlipat kali ganda oleh Allah S.W.T,” katanya-KOSMO! ONLINE