PETALING JAYA – Sebagai ganjaran meraih 6A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), usahawan sensasi Liana Rosli atau Kak KM menghadiahi anak lelakinya, Faris Razman sebuah kereta mewah jenama Mercedes Benz berserta cek bernilai RM10,000.
Katanya, kejutan tersebut adalah sebagai penghargaan atas kecemerlangan sekali gus tanda kasih sayangnya terhadap satu-satunya putera daripada empat beradik itu.
“Tahniah, sempena kejayaan abang, yang pertama ini kereta, nombor dua ni (cek).
“I love you anak mama. Sayang anak mama,” katanya menerusi perkongsian dalam TikTok.
Bukan hanya tidak mampu menahan kegembiraan, Faris juga terkejut diberikan wang sebanyak RM10,000.
“Bukan senang tau nak dapat duit banyak ini,” luah ahli perniagaan popular itu lagi sambil memeluk anaknya.
Isnin lalu, anak kepada dramatis Normah Damanhuri itu menemani permata hatinya mengambil keputusan SPM di sekolah.
Air mata dua beranak itu mengalir sebaik melihat keputusan cemerlang diraih Faris yang ditunjukkan gurunya.
Menurut Kak KM, pencapaian tersebut diperoleh atas usaha belajar bersungguh-sungguh sehingga tidak tidur, selain berkat solat hajat seisi keluarga.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen tumpang bangga, bahkan berharap remaja terbabit sentiasa menghargai pengorbanan ibunya.
Begitupun, beberapa pengguna akaun TikTok lain mempertikaikan keputusan diperoleh Faris yang didakwa hanya 3A. – KOSMO! ONLINE