JAKARTA – Kisah seorang wanita yang sanggup menaiki kenderaan e-hailing (ojek) semata-mata untuk menghantar rombongan haji menjadi tular di media sosial, lapor akhbar Tribunnews semalam.
Pada awalnya wanita berkenaan, Mbah Sombret ingin menaiki bas bersama jiran tetangganya yang bakal mengerjakan haji, namun kenderaan itu sudah penuh.
Dia kemudian memutuskan untuk menaiki kenderaan e-hailing dari Pekalongan ke Solo dengan membayar 600 ribu rupiah (RM174.82).
Mbah Sombret juga sanggup menempuh perjalanan sejauh 193.2 kilometer dan mengambil masa lebih tiga jam untuk sampai ke destinasi.
Lebih menyedihkan apabila tiba di lokasi, dia tidak menemui jiran tetangganya menyebabkan dia pulang semula ke rumah.
Biarpun tidak mampu, semangat kejiranan yang tinggi membuatkan Mbah Sombret sanggup melakukan perkara seperti itu.
Perkongsian itu menjadi tular sehinggakan wanita tersebut dihadiahkan untuk menunaikan umrah oleh seorang usahawan.
“Rezekinya limpah ruah. Terima kasih,” kata seorang pengguna laman sosial.
“Terima kasih orang baik, semoga dimurahkan rezeki,” kata netizen lain. – AGENSI