fbpx

Vaksin AstraZeneca tiada kaitan serangan jantung, strok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Noor Hisham

PETALING JAYA – Kes serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang masih lagi berlaku kini tiada kaitan dengan vaksin AstraZeneca.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tiada lagi program vaksinasi menggunakan vaksin Astrazeneca kebelakangan ini, bahkan ia juga tidak digunakan untuk dos penggalak (booster dose).

Menurutnya, serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang masih berlaku kini adalah disebabkan faktor risiko lain seperti merokok, masalah kolesterol, dan masalah kencing manis.

“Orang ramai diminta membezakan antara kesan samping darah beku (VITT) dengan masalah pembekuan darah yang lain. Kriteria diagnosis VITT mestilah ia berlaku dalam sela masa empat minggu selepas vaksinasi dan perlu ada nilai platelet yang rendah.

“Diagnosis tidak boleh dibuat dengan mata kasar tanpa pemeriksaan dan pengesahan oleh pegawai perubatan,” katanya pada hantaran di media sosial beliau hari ini.

Beliau berkata, semua pihak perlu berhati-hati dengan analisis fakta dan salah tafsir yang akan menyebabkan kekusutan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham menegaskan, kesan sampingan yang dikatakan berkait dengan vaksin AstraZeneca adalah kesan darah beku atau Vaccine Induced Immune Thrombotic Thrombocytopenia (VITT).

“Ia adalah penyakit yang mana darah membeku bersama dengan sel darah kuning menjadi kurang. Perkara ini hanya berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu selepas menerima vaksinasi.

“Orang ramai diminta tidak risau kerana vaksinasi terakhir AstraZeneca telah berlalu bertahun lamanya. Kes mahkamah yang diuar-uarkan adalah kes yang berlaku di United Kingdom sewaktu pandemik Covid-19 dan bukan berdasarkan kes yang berlaku baru-baru ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI