PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menguatkuasakan Peraturan Permit Kemasukan Kenderaan Motor Asing (VEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura mulai 1 Oktober depan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, penguatkuasaan itu membabitkan pemilik kenderaan asing dari Singapura yang merentasi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor serta Kompleks CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar di Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
Beliau berkata, kenderaan motor asing tanpa VEP boleh dianggap melakukan kesalahan selaras dengan Seksyen 66H (7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Katanya, semua pemilik kenderaan motor asing dari republik itu dinasihat memperbaharui VEP yang akan tamat tempoh atau melengkapkan proses pendaftaran mendapatkan VEP bagi kenderaan mereka.
Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, pihaknya mempelawa mana-mana pihak untuk mengemukakan cadangan bagi membangun dan mengoperasikan peraturan caj jalan (RC) dan VEP di sempadan darat Malaysia-Thailand.
Jelasnya, peraturan RC dan VEP telah dilaksanakan di sempadan darat Malaysia-Singapura pada 2019 dan ia akan diperluaskan ke sempadan darat Malaysia-Thailand.
Beliau berkata, bagi fasa dua ini, tiada sebarang suntikan perbelanjaan kerajaan akan dikeluarkan bagi menampung kos pembangunan dan pengoperasian sistem tersebut. – KOSMO! ONLINE