fbpx

RM120,000 akan dibelanja baiki bumbung Apartment Putra Ria – Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi menyantuni kanak-kanak penduduk Apartmen Putra Ria yang terjejas akibat ribut di Bangsar, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Perbelanjaan sebanyak RM120,000 diperlukan bagi kerja membaik pulih bumbung yang telah diterbangkan ribut di Blok 94, Apartmen Putra Ria, Bangsar, di sini, Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya mengenal pasti sebanyak lapan buah rumah serta lapan keluarga terjejas ekoran tragedi itu.

Kata beliau, kerosakan yang berlaku agak serius apabila terdapat salah satu lif di blok tersebut mengalami kerosakan sehingga menyukarkan rutin harian penduduk.

“Saya akan berbincang dengan Datuk Bandar (Datuk Kamarulzaman Mat Salleh) petang ini untuk menyegerakan kerja-kerja baik pulih.

“Kita ingin pastikan kerja-kerja baik pulih ini dijalankan sesegera mungkin. Ditambah pula terdapat lima motosikal dan tiga kereta mengalami kerosakan akibat terkena bumbung,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau lokasi kejadian.

Jelas Menteri Komunikasi itu, keluarga yang terjejas juga akan menerima bantuan termasuk pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan ekoran dihempap zink bumbung itu.

Bagi mengelakkan tragedi sama berulang, Fahmi turut mengarahkan pihak pengurusan apartment tersebut memeriksa tiga blok kediaman itu demi jaminan keselamatan penduduk.

“Selain daripada membaik pulih kadar segera bahagian bumbung yang telah diterbangkan ribut tempoh hari, Saya akan minta pihak MC (pengurusan apartment) untuk mengadakan pemeriksaan terhadap kesemua struktur bumbung.

“Ia membabitkan tiga blok apartment, sekiranya kita perlu ambil tindakan yang lebih menyeluruh untuk baik pulih, maka kita akan segerakan itu,” katanya.

Sabtu lalu, tular di media sosial kejadian bumbung diterbangkan angin kencang dalam kejadian di Blok 94, Apartmen Putra Ria, Bangsar, di sini.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur memaklumkan sebanyak empat lokasi dilaporkan mengalami insiden pokok tumbang di sekitar ibu negara berikutan ribut dan hujan lebat.

Menurut kenyataan itu, kesemua insiden tidak melibatkan sebarang mangsa.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI