JAKARTA – Perbuatan seorang penghantar makanan e-hailing (gojek) di Indonesia yang menghantar pesanan dengan mengayuh basikal mengundang perhatian orang ramai, lapor akhbar Tribunnews semalam.
Menerusi rakaman yang dikongsikan di platform TikTok oleh akaun @king.affiliator, lelaki bernama Wanto itu dilihat mengayuh basikal di atas jalan raya di Samarinda, wilayah Kalimantan Timur.
Wanto difahamkan bekerja selama 13 jam sehari, dari pukul 7 pagi hingga 8 malam menggunakan basikalnya untuk mencari rezeki.
Lebih menyayat hati apabila pendapatan hariannya hanya mencecah 100 ribu rupiah (RM29.14).
Menurut Wanto, dia tidak memiliki dan tidak tahu menunggang motosikal.
Selepas rakaman itu tular di media sosial, rezeki Wanto mencurah-curah. Dia juga dihadiahkan sebuah motosikal oleh seorang usahawan bernama Steven Stenly.
“Saya akan belajar menunggang motosikal supaya boleh memanfaatkan hadiah yang diberi, sehingga pekerjaan saya menjadi lebih mudah dan cepat,” kata Wanto kepada usahawan itu.
Wanto mengaku gembira dan bersyukur atas pemberian motosikal itu. – AGENSI