BANGKOK – Rampasan methamphetamine di rantau Asia Timur dan Asia Tenggara mencatat rekod baharu dalam tahun 2023 berikutan kumpulan-kumpulan jenayah terancang meningkatkan pengeluaran, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Penyeludupan narkotik menjejaskan Asia Tenggara selama berdekad-dekad dengan negeri Shan di Myanmar menjadi sumber utama dadah sintetik.
Sebahagian besar dadah khususnya methamphetamine dihasilkan di dalam makmal-makmal haram yang dikawal kumpulan bersenjata etnik-etnik minoriti dekat sempadan Thailand.
Pejabat Hal Ehwal Dadah dan Jenayah Bangsa-Bangsa Bersatu(UNODC) berkata, sebanyak 190 tan methamphetamine dirampas di Asia Timur dan Asia Tenggara pada tahun lalu sekali gus jumlah terbesar di rantau berkenaan.
Menurut UNODC, perkembangan itu berlaku selepas rampasan methamphetamine mencatatkan sedikit penurunan dalam tahun 2022.
Thailand kekal menjadi laluan transit utama untuk dadah yang dihasilkan di kawasan dikenali sebagai Segi Tiga Emas di mana sempadan Thai, Laos dan Myanmar bertembung.
UNODC memberitahu, beberapa penghantaran besar melibatkan lebih satu tan methamphetamine telah dirampas melalui jalan maritim sepanjang tahun 2023 dan awal 2024.
Awal bulan ini, pihak berkuasa Thai turut merampas satu tan kristal methamphetamine.
“Kumpulan-kumpulan penjenayah mengurangkan kos dengan meningkatkan pengeluaran menerusi pelbagai resipi khususnya bahan kimia bukan kawalan untuk menghasilkan dadah sintetik ini,” kata wakil UNODC untuk Asia Tenggara dan Pasifik, Masood Karimipour. – AFP