KANGAR – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selamat menjalani pembedahan kaki di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini semalam.
Istana Arau dalam satu kenyataan memaklumkan pembedahan itu selesai dengan jayanya tanpa sebarang masalah dan baginda juga berada dalam keadaan stabil.
Menurut kenyataan itu, Tuanku Syed Sirajuddin dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid turut menzahirkan ucapan terima kasih buat seluruh rakyat jelata, kaum kerabat serta sahabat handai yang mendoakan kesembuhan buat baginda.
“Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis juga menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan pakar khususnya Datuk Dr. Fadzir Mohamad (Hospital Kuala Lumpur), Dr. Jasmeet Singh Saren Manjit Singh (KMI Taman Desa Medical Centre), Dr. Aminuddin Mohamad (Hospital Putrajaya), Dr. Syed Addi Usmi Syed Othman (HTF), seluruh warga kerja Jabatan Kesihatan Negeri dan HTF,” katanya.
Istana Arau memberitahu Tuanku Syed Sirajuddin akan terus bersemayam di Wad Diraja HTF dan menjalani proses rawatan pemulihan sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE