SUNGAI BULOH – Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) perlu proaktif menjalinkan kerjasama dan pendekatan baharu yang boleh memberikan manfaat kepada para bakal pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu penting memandangkan ketika ini kira-kira kira-kira 40 peratus veteran masih mencari pekerjaan selepas bersara.
“Kita mesti meneliti dan memberi perhatian untuk memahami dengan lebih mendalam situasi dan faktor mengapa kira-kira 40 peratus veteran masih sedang dalam proses mencari pekerjaan.
“Masih banyak lagi ruang pengukuhan dan pemantapan yang perlu sama-sama kita usahakan. Kita tidak boleh mudah berpuas hati dan Perhebat mesti bergerak secara lebih radikal, progresif dan inovatif,” katanya ketika berucap Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Perhebat di Kompleks Perhebat Kem Sungai Buloh di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan Diploma Kemahiran Malaysia kepada 209 anggota dan veteran ATM dan Sijil Latihan Peralihan kepada 338 bakal pesara ATM.
Pada masa sama, beliau juga turut menyaksikan pertukaran lapan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perhebat dan syarikat swasta, institusi perbankan dan universiti tempatan. – KOSMO! ONLINE