PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan isu berkenaan program ‘parallel pathway’ yang sedang hangat diperdebatkan akan selesai dalam tempoh terdekat.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, penyelarasan terhadap isu itu telah diadakan dengan KPT serta Kementerian Kesihatan (KKM) telah meneliti segala perkara.
“Lewat petang semalam, saya mengadakan mesyuarat dengan pegawai-pegawai KPT dan wakil KKM untuk memastikan segala maklumat dan perkara berkaitan isu program ‘parallel pathway’ telah lengkap disediakan bagi pembentangan kepada Kabinet pada Rabu nanti.
“Seperti sedia maklum, saya dan Menteri Kesihatan telah pun mengadakan perbincangan bersama dengan Pejabat Peguam Negara April lalu dan mesyuarat telah memutuskan untuk disediakan satu kertas cadangan untuk diangkat ke Kabinet.
“Penyelarasan terhadap isu ini telah pun diadakan. KPT dan KKM telah meneliti segala perkara dan Insya-Allah perkara ini akan diselesaikan dalam masa segera,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti mereka menerima pelajar antarabangsa sekarang. – KOSMO! ONLINE