fbpx

Pearly-Thinaah kandas di pusingan pertama Terbuka Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASANGAN beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Impian beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk mencipta satu lagi prestasi terbaik sebelum berlepas Sukan Olimpik Paris tidak berhasil apabila gandingan No. 13 dunia itu terkandas di pusingan pertama Terbuka Singapura, sebentar tadi.

Pearly-Thinaah yang sebelum ini berjaya mara ke pentas separuh akhir Malaysia Masters tidak berjaya mengulangi pencapaian terbaik itu di Singapura apabila mereka gagal menyekat kehebatan gandingan ranking No. 3 dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning sebelum tewas 10-21, 10-21

Ini adalah kekalahan ketiga berturut-turut Pearly-Thinaah kepada pemain China itu tahun ini apabila mereka juga tumbang di Indonesia Masters dan juga Terbuka Malaysia pada Januari lalu.

Penampilan di Terbuka Singpura adalah pentas terbaik Pearly-Thinaah untuk mengukur kemampuan mereka sebelum meneruskan misi di Sukan Olimpik Paris yang membuka tirai pada 26 Julai ini nanti.

Sebelum ini, gandingan negara itu tidak menyertai Piala Uber 2024 kerana memberi tumpuan kepada latihan untuk menghadapi Paris 2024.

Terdahulu, pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mara ke pusingan kedua selepas melakukan kejutan menewaskan pemain ranking No. 28 dunia dari Jepun, Kanta Tsuneyama 21-13, 21-16.

Kecemerlangan tersebut diteruskan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani selepas menewaskan gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han dengan keputusan straight set, 21-18, 21-13.

Turut melangkah mara adalah beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menewaskan rakan seperjuangan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-15, 21-17 dalam tempoh 30 minit untuk mengatur pertemuan dengan gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje di pusingan kedua. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI