fbpx

Nestle Malaysia tanam 2.8 juta pokok, sasar 4 juta menjelang 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lebih 400 sukarelawan Nestle menanam 5,000 pokok dalam acara Penanaman Pokok Tahunan Nestle Malaysia yang diadakan baru-baru ini di lima lokasi berlainan seluruh negara.

PETALING JAYA – Nestle Malaysia berjaya menanam 2.8 juta pokok menerusi Projek RELeaf yang sedang dijalankan dan juga Projek RiLeaf yang telah dilaksanakan sebelum ini, sejajar dengan matlamatnya untuk menanam empat juta pokok di seluruh Malaysia menjelang 2025.

Projek tersebut dianggarkan bakal menghasilkan sekuestrasi karbon (proses mengikat karbon dioksida dari udara untuk mengurangkan gas rumah hijau) berjumlah kira-kira 700,000 tan.

Untuk menggiatkan lagi usaha berkenaan, Nestle Malaysia meneruskan acara Penanaman Pokok Tahunan di seluruh negara, melibatkan lebih daripada 400 sukarelawan Nestlé Cares.

Disokong rakan kerjasama, Sime Darby Plantation dan TDM Plantation, wakil ketiga-tiga pihak berganding bahu untuk menanam sejumlah 5,000 pokok di lima lokasi di seluruh negara, iaitu Taman Alam Kuala Selangor; SDP Labis Utara, Johor; SDP Tiger Estate Tawau, Sabah; TDM Plantation, Terengganu; dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, penanaman sejumlah 2.8 juta pokok merupakan satu mercu jaya penting dalam perjalanan ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) syarikat, mencerminkan dedikasi berterusan pihaknya untuk meluaskan strategi Positif Hutan bagi melindungi ekosistem Malaysia yang berharga.

“Kami kini menetapkan sasaran untuk menanam baki 1.2 juta pokok menerusi Project RELeaf menjelang separuh pertama 2025, seterusnya menuju ke arah mencapai sasaran mutlak menanam empat juta pokok.

“Kami juga ingin merakamkan penghargaan kami kepada rakan-rakan kerjasama yang dihormati, iaitu Sime Darby Plantation, TDM Plantation dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia atas sokongan tidak berbelah bagi mereka terhadap inisiatif penanaman semula hutan kami,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI