JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan luahan seorang peniaga nasi goreng yang keliru kerana hidangan yang baru dimasak menjadi basi, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Kejadian berlaku di Tabalong, wilayah Kalimantan Selatan.
Berdasarkan video yang dimuat naik di platform TikTok, peniaga itu menunjukkan nasi goreng dalam kuantiti yang banyak disimpan di dalam sebuah termos besar.
Menurutnya, meskipun nasi goreng itu baru saja dimasak, ia tiba-tiba basi.
Nasi goreng baru dimasak itu bertukar menjadi lembik dan berlendir.
Apa yang menghairankan peniaga itu adalah nasi goreng lain yang diletakkan di dalam termos berbeza berada dalam keadaan baik meskipun semuanya dimasak pada waktu yang sama.
“Lihatlah, nasi goreng yang baru dimasak ini menjadi basi, mungkin perbuatan hantu (makhluk halus). Semoga perniagaan kami dijauhkan daripada orang yang iri hati dan dengki serta segala bahaya,” demikian menurut keterangan video tersebut.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.
“Mungkin sebab anda terus menutup termos dalam keadaan nasi panas, sebab itu ia basi dan mengeluarkan wap,” kata seorang pengguna media sosial.
“Anda sepatutnya mengalas penutup termos itu dengan kain. Jangan hanya tahu menyalahkan hantu,” kata netizen lain. – AGENSI