PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengesahkan enam model kenderaan Perodua dan tiga model kenderaan Toyota mematuhi piawaian keselamatan Peraturan United Nations (UN) seperti mana ditetapkan di bawah prosedur Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) semasa.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, enam model Perodua itu termasuk Axia (generasi pertama), Axia (generasi kedua), Alza (generasi kedua), Aruz, Ativa, Bezza dan Myvi manakala, Toyota pula bagi model Rush, Vios dan Veloz.
Beliau berkata, sebelum ini, sembilan model kenderaan itu berdepan isu ketidakaturan prosedur pengujian keselamatan kenderaan oleh Daihatsu Motor Corporation (DMC) Japan.
“MOT telah mengarahkan pengujian semula dilaksanakan kepada Perodua dan Toyota yang berkaitan dengan DMC Japan membabitkan enam pematuhan Peraturan UN dan ia dilakukan pada Mac lalu.
“Skop Peraturan UN yang terlibat bagi tujuan pengujian semula tersebut adalah door latches, door retention component, pedestrian protection, seats anchorage, seat-head restraints, brake system, frontal impact dan side impact.
“Dianggarkan sejumlah 1.7 juta unit kenderaan bagi kedua-dua pembuat kenderaan terlibat dengan isu tersebut di dalam pasaran Malaysia,” katanya pada sidang akhbar hari ini. – KOSMO! ONLINE