SEREMBAN – Malang menimpa seorang peniaga pisang goreng apabila melecur 30 peratus akibat terkena minyak panas dari kuali yang terjatuh selepas diserang sawan di sini, minggu lalu.
Ketika kejadian kira-kira pukul 5 petang 22 Mei lalu, mangsa Edy Anuar Mahmud, 39, sedang menggoreng pisang di gerainya di Taman Desa Cempaka, Nilai di sini.
Menceritakan kejadian malang itu, bapa kepada seorang anak itu berkata, serangan sawan yang berlaku secara tiba-tiba telah menyebabkannya terjatuh lalu terkena kuali minyak panas.
“Minyak panas itu kemudian tertumpah dan terkena ke atas saya dari paras pinggang hingga bahagian muka sebelah kanan.
“Kejadian itu turut disaksikan isteri, pekerja dan beberapa pelanggan yang sedang datang di gerai kami,” katanya di sini hari ini.
Edy Anuar berkata, selepas insiden terbabit dia berada dalam keadaan separuh sedar dan tidak pasti apa yang berlaku.
Jelas Edy Anuar, isterinya telah cuba mengurangkan rasa panas dialami dengan menjirus air dan ais batu sebelum menghubungi pihak ambulans.
“Saya dah lama tidak kena sawan, sudah enam bulan saya tidak makan ubat, tidak sangka pula tiba-tiba sawan ini menyerang semula.
“Saya kini ditahan di wad Hospital Kuala Lumpur dan mengalami lecuran 30 peratus. Doktor beritahu Khamis ini saya perlu jalani pembedahan bagi membuang kulit mati,” katanya.
Menurut Edy Anuar, itu kali pertama penyakit sawan menyerangnya ketika sedang berniaga.
Lebih menyedihkan, ujian berganda buat Edy Anuar apabila dua hari selepas kejadian, bapa isterinya pula meninggal dunia dan itu membuatkan isterinya dalam keadaan tertekan.
Bagaimanapun katanya, dia reda dengan ujian dihadapi dan mengharapkan doa orang ramai agar dipermudahkan segala urusannya.
Sesiapa yang berhasrat menghulurkan sumbangan boleh salurkan kepada akaun bank isterinya Nordila Dolmat (Ambank) 8881049455736. – KOSMO! ONLINE