PETALING JAYA – Tiga daerah di Pantai Timur dijangka menerima gelombang haba dengan suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut sehingga Khamis ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, dua daerah di Kelantan melibatkan Pasir Mas dan Kuala Krai dijangka menerima cuaca panas tahap dua dengan suhu maksimum harian mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius.
“Dalam pada itu, cuaca panas tahap dua juga dikesan di Besut serta dijangka berlarutan tiga hari berturut-turut.
“Cuaca panas dengan suhu maksimum harian mencecah 35 darjah Celsius turut dikesan di Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Jeli dan Gua Musang diikuti Setiu di Terengganu dijangka berpanjangan sehingga Sabtu ini,” katanya.
Selain itu, suhu maksimum 35 darjah Celsius turut dikesan di bahagian utara Semenanjung melibatkan Perlis, Hulu Perak dan Kuala Kangsar selama tiga hari berturut-turut.
“Cuaca panas pada tahap pertama turut dikesan di Kedah melibatkan beberapa daerah termasuk Padang Terap, Sik, Baling, Bandar Baharu, Kulim, Kuala Muda, Pendang dan Pokok Sena.
“Sementara itu, suhu tahap pertama juga turut dijangka di Timur Laut, Pulau Pinang selama tiga hari berturut-turut,” katanya. – KOSMO! ONLINE