KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi tidak menolak kemungkinan sekiranya wakil pemimpin negeri itu dilantik semula selaku Yang Dipertua Dewan Negara baharu.
Menurut Alexander, pihaknya sememangnya menaruh harapan berhubung perkara itu bagi menggantikan penyandangnya, mendiang Mutang Tagal yang meninggal dunia, 10 Mei lalu.
“Semalam pun ada indikasi yang memungkinkan (perkara itu). Kalau diberi peluang, kita akan mencari siapa yang layak.
“Sebab wakil dari Sarawak iaitu Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak dan mendiang Mutang Tagal meninggal dunia. Dua orang ini tidak sampai satu penggal.
“Mungkin kita diberi masa untuk memenuhi tempoh tiga tahun tetapi itu terpulang kepada kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pra-Pelancaran Sistem Centralised Regulations Repository (CRR) dan Pusat Informasi dan Data Analitik Sektor Pembinaan Nasional (NCIP) di Kompleks Kerja Raya, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi GPS mengenai calon Yang di-Pertua Dewan Negara baharu, semalam.
Sehubungan itu, Anwar dilapor berkata, jumlah individu yang dinamakan sebagai calon Yang Dipertua Dewan Negara adalah ramai.
Bagaimanapun, Alexander berkata, pertemuan tersebut yang berlangsung di Sarawak tidak membincangkan mengenai perkara berkenaan.
“Kita ada berjumpa semalam dan ada perbincangan tetapi tidak sentuh hal (calon speaker) itu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE