PENAMPANG – Seorang wanita maut disyaki terjatuh dari tingkat empat sebuah apartment di Jalan Bundusan petang semalam.
Wanita warga tempatan berusia 24 tahun itu ditemui kira-kira pukul 4 petang dalam keadaan terbaring oleh orang awam sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tujuan bedah siasat.Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.-KOSMO! ONLINE