fbpx

UTeM tawar tiga program Ijazah Sarjana Muda baharu TVET aras tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UTeM memfokuskan kepada pembangunan kemahiran aras tinggi TVET secara sepenuhnya. – gambar hiasan

DALAM usaha memenuhi acuan permintaan dan keperluan industri dalam konteks Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkenalkan tiga program baharu pada tahun ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan peluang keemasan yang dinantikan oleh ramai bagi melanjutkan pengajian dalam bidang TVET aras tinggi.

Katanya, tiga program baharu tersebut adalah Sarjana Muda Teknologi Internet of Things (IOT) dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Telekomunikasi dengan Kepujian serta Sarjana Muda Teknologi Pengkomputeran Awan dan Aplikasi dengan Kepujian.

“Peluang keemasan ini terbuka kepada calon-calon lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) bagi memohon tempat mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda.

“UTeM mengambil inisiatif membuka ruang dan peluang kepada golongan lepasan diploma kemahiran bagi menyambung pengajian pada tahap lebih tinggi di universiti awam.

“Ketiga-tiga program ini memulakan siri pengajian pada kemasukan pelajar baharu untuk semester satu (Oktober), sesi 2024/2025 ini,” katanya.

Jelas Massila, tempoh pengajian bagi tiga program baharu tersebut hanya mengambil masa selama tiga tahun.

Ujarnya, ia termasuk dua tahun setengah pengajian di kampus, manakala baki setengah tahun lagi di industri.

“Ia berbeza dengan program Sarjana Muda Kejuruteraan dan Teknologi Kejuruteraan yang mengambil masa pengajian selama empat tahun secara keseluruhan,” katanya.

Mengulas mengenai silibus ketiga-tiga program, Massila memaklumkan, ia adalah berteraskan kerjasama dengan ZTE Education China.

Katanya, seperti semua sedia maklum, negara republik itu sedang rancak dengan pertumbuhan arus kemodenan teknologi dunia.

Justeru, UTeM melaksanakan penawaran program pengajian yang berdaya kebolehpasaran tinggi buat graduan dan sentiasa menjadi pilihan utama para majikan di peringkat global.

Mengulas lanjut, dia berkata, agenda itu turut memenuhi kriteria pengisian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Pendidikan Berkualiti (SDG 4) dan Kerjasama Demi Matlamat (SDG 17) daripada 17 Matlamat

Pembangunan Mampan yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim berkata, kurikulum program itu diformulasikan dengan kadar 60 peratus praktikal, manakala hanya 40 peratus berasaskan teori.

“Ini kerana, pihaknya memfokuskan kepada pembangunan dan pengasahan kemahiran aras tinggi TVET secara sepenuhnya serta tiada peperiksaan akhir bagi setiap semester.

“Sehubungan itu, para pelajar yang mengikuti program-program tersebut perlu memasuki sesi kuliah dan proses pembelajaran di dalam makmal berteknologi tinggi yang terdapat di UTeM,” katanya.

Bercakap mengenai keseluruhan program Sarjana Muda Teknologi yang sedia ditawarkan, Zulkifilie berkata, UTeM telah menawarkan sebanyak enam program berkaitan teknologi sebelum ini.

Ujarnya, tambahan tiga program baharu itu menjadikannya sembilan program secara keseluruhannya di UTeM pada masa kini.

“Secara umumnya, 33 program lain juga terus mendapat permintaan tinggi di UTeM. Ia merangkumi lapan program Sarjana Muda Kejuruteraan, 14 program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan, empat program Sarjana Muda

Pengurusan Teknologi dan Sarjana Muda Teknousahawan serta tujuh program Sarjana Muda Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.

“Ini menjadikan kesemuanya sebanyak 42 program sarjana muda, di samping lima program diploma ditawarkan di UTeM.

“Boleh dikatakan, semua jurusan ini terus mendapat permintaan tinggi daripada majikan.

“Ia terbukti dengan kadar kebolehpasaran graduan UTeM terus mencatatkan peningkatan peratusan tinggi pada setiap tahun iaitu tahun 2020 (88.1 peratus), 2021 (91.1 peratus) dan 2022 (96.4 peratus),” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI